Halaman

Khamis, 14 Disember 2006

Info kesehatan

Ni aku dapat testimonial dari sorang kawan baik aku. thanks for her for the info :)

Tabiat merokok punca OCPD

MASALAH batuk teruk dan berkahak adalah perkara biasa di kalangan lelaki tua yang merokok. Ia petanda utama bagi penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) iaitu masalah yang berkaitan dengan saluran pernafasan.

Walaupun mengalami batuk teruk hingga kadangkala sukar melakukan kerja, ia tidak dianggap masalah besar bagi kebanyakan perokok. Ramai lebih rela menderita batuk daripada berusaha berhenti merokok mahupun mendapatkan rawatan.

COPD adalah masalah sejagat dan ia lebih ketara di kalangan perokok tua. Asap rokok yang bertahun-tahun disedut masuk ke paru-paru boleh menyebabkan dua masalah besar, iaitu bronkitis kronik (keradangan pada paru-paru) dan emfisema (kerosakan tisu paru-paru mengakibatkan proses pertukaran gas karbon dioksida dan oksigen merosot). Kedua-dua masalah ini menjadikan seseorang itu mengalami COPD.

Paru-paru kita mempunyai dua bahagian utama iaitu tiub bronkial (juga dipanggil saluran pernafasan) dan alveoli (pundi udara). Apabila kita bernafas, udara melalui tiub bronkial untuk masuk ke alveoli. Di sinilah berlakunya pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida.

Gas oksigen meresap masuk ke salur darah, manakala gas karbon dioksida pula masuk ke pundi udara untuk dihembus ke luar.

Seperti organ lain, keupayaan paru-paru untuk berfungsi dengan cekap menurun dengan peningkatan usia; apatah lagi di kalangan perokok. Bagaimanapun bagi perokok, fungsi paru-paru mereka mula merosot apabila mereka mula merokok. Tidak hairan perokok lebih mudah mengalami masalah membabitkan saluran pernafasan.

Kedua-dua masalah (bronkitis kronik dan emfisema) boleh dikesan dengan mudah melalui gejala batuk berkahak dan sesak nafas — yang biasa berlaku pada perokok tua. Lebih lama tempoh seseorang itu merokok, lebih buruk gejala dihadapi.

Saluran pernafasan pesakit COPD biasanya menjadi merah dan dipenuhi mukus (lendir) yang menyekat laluan udara, menyebabkan pesakit sukar bernafas. Pada masa sama, alveoli juga mengalami keradangan akibat kemasukan asap beracun. Lama kelamaan, alveoli menjadi keras dan tidak boleh menampung cukup udara. Akibatnya, proses pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida terganggu dan pesakit mengalami sesak nafas.

Menurut Perunding Geriatrik, Dr P Srinivas, sehingga kini tiada rawatan dapat memulihkan kerosakan paru-paru pesakit COPD. COPD antara empat punca utama yang menyebabkan kematian penduduk dunia. Malah, sikap pesakit yang tidak mahu berhenti merokok atau segera mendapatkan rawatan hanya memburukkan keadaan.

Keadaan di Malaysia tidak banyak berbeza dengan negara lain kerana hampir 47 peratus lelaki di negara ini merokok, manakala jumlah perokok wanita kini mencecah tiga peratus — semuanya berisiko tinggi mengalami COPD.

Dianggarkan antara 80 hingga 90 peratus kes COPD berpunca daripada amalan merokok selama 20 tahun. Sekali imbas, tempoh ini nampak sangat panjang dan jauh daripada jangkauan. Cuba ingat kembali bila anda mula merokok dan berapa lama tempohnya hingga hari ini. Jika anda mula merokok ketika berumur 20 tahun dan kini mencecah 40 tahun, tidakkah anda sebenarnya hampir masuk ke pintu COPD?

Kata Dr Srinivas, masih ramai perokok tidak menyedari masalah ini. Bahkan, kurang kesedaran dan pengetahuan menyebabkan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan masih rendah, walaupun gejala penyakit sudah lama timbul.

“Masalah ini sebenarnya boleh diatasi dengan berhenti merokok. Kajian menunjukkan hampir 41 peratus warga emas yang tinggal di rumah orang tua mengalami masalah COPD dan sebanyak 30 peratus pesakit berumur 65 tahun ke atas menunjukkan tanda positif apabila berhenti merokok.

“Ramai tidak sedar COPD boleh menyebabkan seseorang perokok mengalami pelbagai masalah, termasuk hilang keupayaan dan tidak boleh bergerak apabila tua,” katanya ketika Persidangan Geriatrik Asia Pasifik: Masalah Lazim di Kalangan Warga Tua anjuran bersama Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Kementerian Kesihatan, Akademi Kedoktoran Keluarga Malays


COPD dan masalah kesihatan

Secara umumnya COPD disebabkan tabiat merokok. Lebih awal seseorang itu memulakan tabiat merokok dan lebih lama tempoh merokok, risiko mengalami COPD lebih tinggi.

Antara gejala utama COPD ialah batuk teruk, berkahak, bunyi nafas kasar (berdehit) dan sesak nafas. Jika anda mengalami tanda ini, Dr Srinivas menasihatkan segera mendapatkan rawatan atau setidak-tidaknya berusaha berhenti merokok kerana ia cara terbaik untuk merawat COPD.

Malah, pesakit COPD juga kerap mengalami masalah kesihatan lain seperti selesema dan diserang virus influenza kerana asap rokok juga boleh melemahkan daya ketahanan badan.

Walaupun tidak boleh seperti sedia kala, menghentikan amalan merokok dapat mengembalikan kesihatan paru-paru. Tiada had umur tertentu untuk berhenti merokok. Lebih awal anda berhenti, kesannya lebih baik kepada kesihatan.

“Sasaran utama rawatan COPD ialah menghentikan gejala, memperbaiki kualiti kehidupan pesakit, mengelakkan perkembangan penyakit dan merendahkan kadar kematian akibat rokok. Syarat utama dalam rawatan ini ialah berhenti merokok. Berhenti merokok dengan mendadak memberikan kesan lebih baik berbanding secara perlahan-lahan.

“Tidak kira berapa lama anda merokok, paru-paru akan menunjukkan kesan positif apabila anda berhenti merokok. Jika anda bercadang berhenti merokok, segera dapatkan bantuan pakar. Mereka boleh mencadangkan beberapa kaedah, termasuk terapi penggantian nikotin, kaunseling psikologi dan galakan daripada kumpulan sokongan,” katanya.

Beliau berkata, diagnosis awal dan pengurusan rawatan yang aktif sangat penting untuk mengurangkan kadar morbiditi dan kematian. Malah, ia juga dapat mengatasi masalah emosi kerana kajian menunjukkan 68 peratus pesakit COPD turut mengalami kemurungan.

Antara rawatan yang boleh diberi kepada pesakit COPD tua ialah penggunaan ubat ß-2 agonist (untuk mengurangkan bakteria dalam saluran pernafasan), theophyllines (bagi individu yang ada masalah pernafasan pada waktu malam), anticholinergics dan ubat terbaru, tiotropium.

Lebih malang jika tabiat ini membuatkan anda terpaksa menjalani terapi oksigen yang biasanya diberikan kepada pesakit apabila mengalami kesukaran bernafas.

Jadi, sebelum anda terpaksa bergantung hidup kepada tabung oksigen, lebih baik jika anda memulakan usaha berhenti merokok hari ini juga.

source: http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Sunday/Kesihatan/20060416102543/Article/indexs_html
http://www.hmetro.com.my/Sunday/Kesihatan/20060416102543/sun_artrevamp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

terima kaseh :)